SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN PELANGI

Saturday 15 August 2020

PROGRAM HIP SK TAMAN PELANGI 2020






Apakah Program Imersif Tinggi (HIP)?

Program Imersif Tinggi (HIP) merupakan sebuah program yang diperkenalkan di bawah dasar MBMMBI yang bertujuan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid-murid melalui pendedahan yang lebih tinggi kepada bahasa tersebut di sekolah.

Perkara ini merupakan suatu pengukuhan kepada Surat Pekeliling Ikhtisas bil. 1/1999: Garis Panduan Pengendalian Aktiviti Sokongan Bahasa Inggeris Di Sekolah (No. Rujukan: KP (BS) 8591/Jilid XV/ (1) 4 Januari 1999) bagi pelaksanaan aktiviti peningkatan penguasaan bahasa Inggeris di dalam dan di luar kelas.

Ia juga bertujuan untuk memupuk sikap dan pandangan yang positif terhadap pembelajaran dan penggunaan bahasa Inggeris.



Adakah HIP suatu program baharu?

Tidak, ianya bukan sebuah program baharu, malah ia merupakan pengukuhan terhadap pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia yang dikeluarkan pada tahun 1999 untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti penguasaan bahasa Inggeris di dalam dan di luar kelas.

Apa yang berbeza adalah pelaksanaan HIP. Pendekatan yang digunakan adalah untuk memberi kuasa kepada sekolah, dilaksanakan oleh sekolah dan untuk sekolah. Sekolah-sekolah akan dibekalkan dengan sarana sebagai panduan untuk melaksanakan perancangan aktiviti yang lebih komprehensif, berdasarkan latar belakang dan keupayaan mereka. Sarana ini akan mengandungi contoh-contoh amalan terbaik dari sekolah-sekolah yang telah melaksanakan aktiviti peningkatan penguasaan bahasa Inggeris di dalam dan di luar kelas.

Tambahan pula, satu mekanisme sokongan akan dibina bagi menggalakkan sekolah- sekolah untuk berkongsi, belajar dan memberi galakkan antara satu sama lain dalam melaksanaan aktiviti pengayaan bahasa Inggeris.

Mengapa kita perlukan HIP?

Walaupun Pekeliling pada tahun 1999 telah menyatakan bahawa sekolah-sekolah dikehendaki melaksanakan aktiviti pengayaan bahasa Inggeris, Kementerian mengakui bahawa kejayaan pelaksanaannya adalah berbeza-beza di antara sekolah-sekolah di negara ini.  Ini adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh kefahaman dan pengetahuan pengoperasian yang pelbagai.

Oleh itu, HIP diperkenalkan untuk menyediakan satu mekanisme sokongan seperti pembelajaran di antara rakan setugas, sokongan oleh jurulatih, pegawai pendidikan daerah dan negeri, sarana yang mempertimbangkan pelbagai peringkat kesediaan dan tahap penglibatan ibu bapa dan masyarakat.

Apakah jenis aktiviti-aktiviti yang boleh sekolah laksanakan?

Sarana HIP mengandungi menu pilihan aktiviti-aktiviti sekolah yang boleh digunakan mengikut tahap kesediaan mereka. Aktiviti-aktiviti dikategorikan kepada Dalam Kelas, Luar Kelas dan Kelas Tambahan. Sekolah-sekolah boleh memilih daripada senarai aktiviti-aktiviti pilihan, dan bebas untuk melaksanakan satu atau lebih aktiviti.

Aktiviti-aktiviti ini adalah contoh yang diperoleh daripada sekolah-sekolah di seluruh negara, sekolah bandar dan juga luar bandar. Contoh aktiviti yang boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian adalah bercerita, satu perkataan sehari, nyanyian dengan pergerakan serta pembentangan dalam perhimpunan mingguan dan menggunakan bahasa Inggeris semasa Hari Guru atau pelbagai majlis di sekolah.

Sekolah juga digalakkan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti mereka tersendiri yang kreatif dan tidak terdapat dalam sarana tersebut. Jika aktiviti-aktiviti tersebut terbukti berkesan, mereka boleh dipertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam sarana pada masa hadapan sebagai amalan terbaik.

Apa yang akan berlaku kepada aktiviti-aktiviti pengayaan bahasa Inggeris sedia ada yang sedang dilaksanakan?
Sebarang aktiviti pengayaan bahasa Inggeris sedia ada boleh diteruskan dan dirangkumi di bawah program HIP.

    Sekolah digalakkan untuk terus melaksana dan meningkatkan aktiviti pengayaan bahasa Inggeris sedia ada jika ia telah mencapai kejayaan dan menghasilkan keputusan yang baik.

    Walau bagaimanapun, HIP ingin memperlihat sekolah-sekolah untuk memantapkan lagi pelaksanaan aktiviti-aktiviti serta memperkenalkan aktiviti dengan lebih banyak dan hebat untuk sentiasa meningkatkan tahap pencapaian.


 Bagaimanakah HIP menyokong dasar pendidikan?

HIP adalah sejajar dengan Aspirasi Murid Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) di mana PPPM memberi sokongan kepada murid-murid untuk menguasai kemahiran dwibahasa untuk meningkatkan daya saing di peringkat global. Anjakan ke-2 di bawah PPPM memastikan setiap kanak-kanak menguasai bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, dan juga menggalakkan setiap murid mempelajari bahasa ketiga sebagai tambahan.

 jobs from my.neuvoo.com

Bukankah kelas Bahasa Inggeris mencukupi untuk menerapkan penguasaan bahasa?
Berdasarkan PPPM, "Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa masa pendedahan yang lebih daripada 15-20% sedia ada diperlukan bagi murid menguasai bahasa Inggeris". Oleh itu, HIP akan meningkatkan masa pendedahan kepada bahasa melalui penggunaannya dalam aktiviti di luar kelas.

Apabila murid-murid bermain, berinteraksi dan bersuka-ria menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi dan pembelajaran, mereka akan menghargai bahasa tersebut dan selesa untuk menggunakannya dalam kehidupan seharian mereka.

HIP akan dilaksakan bersama-sama program-program lain di bawah MBMMBI, untuk mengukuhkan penguasaan dalam kedua-dua bahasa.

Bagaimanakah HIP akan dilaksanakan?
Pendekatan yang digunakan adalah dengan memberi kuasa kepada sekolah, dilaksanakan oleh sekolah dan ianya untuk sekolah. Sekolah-sekolah akan dibekalkan dengan sarana agar mereka mempunyai panduan untuk merancang aktiviti dengan lebih berkesan, berdasarkan latar belakang dan keupayaan mereka.

Sarana ini mengandungi contoh-contoh amalan terbaik daripada sekolah-sekolah yang telah berjaya melaksanakan aktiviti-aktiviti pengayaan bahasa Inggeris dalam dan di luar kelas.

Sebuah mekanisme sokongan akan dibina di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan untuk menggalakkan sekolah-sekolah untuk berkongsi, belajar dan menyokong satu sama lain untuk melaksanaan aktiviti-aktiviti ini.

HIP adalah berdasarkan kepada pendekatan penglibatan seluruh sekolah, di mana ia melibatkan pemimpin sekolah, guru-guru, murid-murid, ibu bapa dan masyarakat. Sokongan dan penglibatan ibu bapa dan masyarakat amat digalakkan untuk memastikan kemapanan aktiviti yang dilaksanakan di sekolah.


Bilakah HIP akan dilaksanakan?
HIP akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, bermula dengan Fasa Rintis pada tahun 2016 dan akhirnya akan dilaksanakan kepada semua sekolah menjelang tahun 2018.

Bagaimana negeri-negeri dan sekolah-sekolah rintis dipilih?
Negeri-negeri rintis dikenalpasti berdasarkan kepada kriteria pemilihan objektif yang telah dipersetujui oleh ahli-ahli makmal:

1.Dimulakan dengan sekolah-sekolah rendah di dalam negeri yang dipilih berdasarkan keputusan UPSR 2014 dalam Bahasa Inggeris yang tercorot

2. Untuk memudahkan pelaksanaan dan peluasan: melaksanakan rintis mengikut zon

3. Semenanjung: Utara, Selatan, Tengah dan Timur

·                     Utara: Perlis

·                     Tengah : Perak

·                     Selatan: Negeri Sembilan

·                     Timur: Pahang

·                     Sabah dan Sarawak

 Program ini akan dilaksanakan melalui daerah menggunakan Model Sokongan, Pemantauan dan Rakan Pembelajaran. Daerah yang dipilih sebaiknya mempunyai kepelbagaian jenis sekolah, contohnya, bandar dan luar bandar, serta berprestasi rendah sehingga sederhana.

 Apakah yang sekolah perlu lakukan?

Pemimpin sekolah memainkan peranan penting dan mereka bertindak sebagai "Nakhoda", yang memandu sekolah dalam mewujudkan persekitaran bahasa Inggeris, memberi motivasi kepada guru-guru dan murid-murid, dan melibatkan ibu bapa dan masyarakat secara aktif.

Guru-guru perlu menyokong pemimpin sekolah dalam mewujudkan persekitaran yang kaya dengan dwi-bahasa dengan mengamalkan pengajaran dan pembelajaran secara berkesan, proaktif dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan bahasa Inggeris, membangunkan alat bantu mengajar, dan menganjurkan acara sekolah.

Semua guru, bukan sahaja guru Bahasa Inggeris, digalakkan untuk menggunakan Bahasa Inggeris dalam aktiviti luar bilik darjah. Guru-guru juga akan melaksanakan pembelajaran berasaskan projek dan menggalakkan murid mereka untuk mencari sumber dari internet, yang mana kandungannya dalam Bahasa Inggeris.

Dalam sarana, peranan Pemimpin sekolah dan Guru-guru diperjelas kerana mereka menggalas tanggungjawab yang penting untuk menjayakan HIP.

 Apakah peranan murid-murid dan ibu bapa?

Murid-murid dan ibu bapa perlu terlibat dan komited untuk menjayakan pelaksanaan HIP.

Murid-murid adalah teras kepada program ini, dan peranan mereka adalah untuk menjaga pembangunan peribadi dan pembelajaran serta memberi sokongan kepada guru-guru dalam menjalankan aktiviti-aktiviti. Maklum balas daripada murid-murid juga adalah penting dalam memastikan penambahbaikan HIP yang berterusan di sekolah.

Ibu bapa dan masyarakat memainkan peranan sebagai "Penyokong". Mereka boleh membantu sekolah dengan pelbagai cara, seperti menyediakan kepakaran, menjadi sukarelawan dan memberi bantuan di mana sahaja dan bila-bila diperlukan serta menyediakan bantuan kewangan. Maklum balas ibu bapa mengenai perkembangan anak-anak mereka adalah penting.



AKTIVITI-AKTIVITI HIP SK TAMAN PELANGI 
OLEH 
PANITIA BAHASA INGGERIS DAN BANTUAN GURU-GURU SKTP















No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...